PRINSIP UBUDIYYAH, MAS’ULIYYAH DAN ITQAN
DALAM KERJA
Oleh
Ustazah Fatimah binti Sulaiman
Islam adalah sebaik-baik agama yang datang dari Allah yang mengatur segala aspek kehidupan manusia. Seorang muslim harus membuktikan keislamannya dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Pengamalan Islam bukan sahaja terhad dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, soal kekeluargaan; nikah kahwin, nafkah, talaq dan sebagainya tetapi meliputi segala perkara baik dalam soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam dan haiwan , urusan dunia dan akhirat, kegiatan zahir dan batin, politik, ekonomi, sosial; pembangunan, keselamatan, pendidikan, hubungan antara bangsa, urusan fardiy ( peribadi) atau jama’iy (masyarakat) dan termasuklah juga aspek kerja atau profesyen..
Maksud ayat 208 surah al-Baqarah
Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu ikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.
Al-Ahzab 36
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya, dia telah sesat, sesat yang nyata.
Terdapat tiga prinsip dalam Islam berhubung dengan kerja yang seharusnya difahami dan diamalkan oleh setiap orang Islam dalam rangka melaksanakan amanah yang dibebankan di atas bahu mereka iaitu prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan. Memahami prinsip ini memang penting agar kerja berpandu dan terarah.
Prinsip Ubudiyyah (Pengabdian terhadap Allah)
Ubudiyyah dalam kerja bermaksud bekerja semata-mata kerana Allah dengan meletakkan setiap kerja yang dilakukan sebagai ibadah yang akan memperolehi ganjaran pahala di akhirat ’Bekerja’ akan mencapai tahap ibadah apabila dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Niat yang ikhlas adalah syarat paling utama yang menjadi roh kepada amal untuk dikira sebagai ibadah. Niat hanya kerana Allah, bekerja bukan kerana yang lain, bukan kerana pangkat, gelaran, pujian, sanjungan atau kepentingan peribadi dan sebagainya melainkan hanya kerana Allah semata-mata dengan harapan untuk mendapat keredaanNya, itulah yang dikatakan niat yang ikhlas.
Al-Baiyinah 5 – maksudnya
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.
Al-Saffat 38-42 maksudnya
Sesungguhnya kamu pasti merasakan azab yang pedih.Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan.Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas.Mereka itu memperolehi rezeki yang tertentu.Iaitu buah-buahan dan mereka adalah orang yang dimuliakan.
Ikhlas’ adalah suatu urusan hati yang sangat sukar dicapai, ciri dan sifatnya memang agak sukar dipenuhi, melainkan dengan kesedaran dan keinsafan yang sungguh-sungguh.
Di antara tanda-tanda ikhlas ialah:
Takutkan kemasyhuran
Kerap menuding jari kepada diri sendiri
Bekerja secara ’tersembunyi’
Tidak mengejar pujian dan tidak terpesona dengannya
Tidak bakhil memuji orang yang patut dipuji dan tidak melampau dalam memuji
Bekerja tanpa mengira kedudukan sebagai orang atas atau bawah
Lebih mengutamakan keredhaan Allah dari keredhaan manusia
Cinta, benci, memberi dan menahan semuanya kerana Allah
Cekal dan sabar dalam kerja
Gembira dengan kemunculan tnaga baru
Mengutamakan pekerjaan yang bermanfaat
Menghindari penyakit kagum diri
Waspada dari memuji diri sendiri
Syarat kedua kerja menjadi ibadah iaitu pekerjaan yang dilakukan tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak; maksudnya bentuk, rupa atau nature kerja itu halal di sisi Allah.Sebarang kerja yang haram sekali pun niat orang yang melakukannya baik tidak layak dikatakan bekerja kerana Allah dan bukan suatu bentuk ubudiyyah kepadaNya.
Syarat ketiga iaitu perlaksanaan kerja hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip syariat dan akhlak Islam.Maksud kerja selaras dengan prinsip-prinsip syariat Islam iaitu kerja menepati kaedah dan cara yang ditentukan oleh syarak, contohnya kerja dimulakan dengan basmalah dan doa. Di samping itu kerja harus menepati akhlak Islam; contohnya amanah, adil, bertanggung jawab, bersungguh-sungguh,ikhlas dan sebagainya.
Pada 5 Nov 2003 dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama YAB Perdana Menteri Malaysia yang kelima YAB Dato Seri Abdullah Badawi telah mengumumkan keputusan Kerajaan untuk membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia ( IIM.) bagi mengukuhkan integriti rakyat seluruhnya dalam pengurusan dan perkhidmatan. Langkah ini adalah suatu langkah yang baik yang bertepatan dengan tuntutan syariat.
Di dalam Buku Nilai dan Etika Pensyarah,(UiTM) integriti ialah melakukan sesuatu dengan penuh tanggung jawab tanpa penyelewengan atau pengabaian. Nilai-nilai integriti meliputi ;
menunaikan tugas yang diberi penuh tanggung jawab
menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti
berrlaku adil dan saksama kepada semua pihak
jujur dan setia kepada diri dan UiTM
menjaga harta dan kepentingan UiTM
menjaga rahsia dan maklumat jabatan atau UiTM pada setiap masa
mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan
tidak mementingkan diri sendiri, keluarga atau rakan (UiTM, Nilai & Etika Pensyarah UiTM : 9 )
Syarat keempat; amalan atau kerja hendaklah dilakukan seelok-eloknya dan sebaik mungkin.(Syarat ini akan dijelaskan di bawah tajuk itqan)
Syarat kelima; bekerja jangan sampai mengganggu atau melalaikan ibadah pokok seperti solat, puasa dan sebagainya.Kerja yang baik yang dilakukan dengan ikhlas dan menepati ketentuan syarak tidak membawa apa-apa makna sekiranya ibadah khusus diabaikan khususnya ibadah solat.
Maksud hadith Rasulullah saw; Perkara pertama yang dihitung ke atas seorang hamba pada hari kiamat adalah solat, sekiranya solatnya diterima, maka diterimalah seluruh amalannya dan sekiranya ibadah solatnya ditolak,maka ditolaklah seluruh amalannya.
Zahir dan batin manusia tidak boleh dipisahkan. Perlakuan zahir adalah buah atau kesan dari batin. Bagi memperbaiki amal, ia perlu dimulakan dengan memperbaiki dalaman atau jiwa dengan memupuk keimanan dan ketaqwaan dan menyuburkan jiwa dengan ibadah ;wajib dan sunat. Iman dan taqwa akan menjadi pelindung kepada diri dari melakukan sesuatu yang tidak wajar atau maksiat kepada Allah termasuk dalam urusan kerja dan ketika itu mungkin Institut Integriti Malaysia ( IIM ) sebagai institusi yang bertanggungjawab menilai dan memantau pelaksanaan pelan integriti nasional yang dirancang tidak lagi diperlukan. Begitu juga dengan BPR, Jabatan Audit Negara, Biro Pengaduan Awam dan sebagainya.
Prinsip Mas’uliyyah
Prinsip mas’uliyyah atau ’accountability’ ialah prinsip yang menuntut seseorang pekerja supaya sentiasa berwaspada dan bertanggung jawab ke atas apa yang dilakukan atau dibelanjakan kerana mereka akan di periksa dan disoal bukan sekadar di dunia malah di hari pembalasan.
Asas pegangan orang Islam dalam hal ini termaktub di dalam banyak ayat al-Qur’an dan hadith Rasulullah saw.Diantaranya maksud firman Allah dari surah al-Baqarah 284 yang bermaksud;Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menzahirkannya kepada kamu.Kemudian Dia mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya dan menyiksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Maksud Hadith,
Dari Ibnu Umar ra, Baginda saw bersabda, maksudnya , ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamumu. Seorang amir/penguasa/ atau pemimpin yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Sseorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya .Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta kekayaan tuannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu.( hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim).
Jawatan, kerja, tugas atau apa-apa profesyen yang kita pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk mencapai cita-cita duniawi tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan dengan cara yang sempurna seperti mana yang ditetapkan oleh institusi dan yang diakui oleh syarak. Kerja yang kita lakukan itu seharusnya bukan sahaja membawa manfaat duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk ubudiyyah kepada Allah .
Prinsip Itqan
Prinsip itqan iaitu prinsip yang menuntut manusia supaya melaksanakan sesuatu amal atau kerja dengan cara yang bersungguh-sungguh, melakukannya dengan sebaik-baiknya, serious dan bukan main-main sehingga tercapai perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang. Sifat ini menjadi tuntutan Islam sebagaimana maksud hadith Rasulullah saw; Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh.
Rasulullah saw yang menjadi suri tauladan terbaik umat manusia sentiasa bersungguh-sungguh dalam segala amal dan sikap baginda saw yang mulia ini diteruskan oleh para sahabat dan tabiin sehingga Islam mencapai kemuncak kecemerlangan ketika itu. Untuk kembali ke era itu umat Islam harus kembali kepada sikap yang ditunjukkan oleh mereka. Kerja yang sungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya.
Kesimpulan
Menyebut tiga prinsip di dalam Islam berhubung dengan kerja; prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan memang mudah tetapi menghayatinya tidak semudah menyebutnya. Mungkin perlu bagi kita meluangkan sedikit masa merenung dan menilai kerja yang kita lakukan selama ini; adakah kerja kita layak dikira sebagai amal salih atau ibadah, apakah Allah menerima amal kita selama 10 20 tahun kita bekerja, apakah kita amanah dengan kerja kita, apakah kita ikhlas dalam menjalankan tanggung jawab, apakah rezeki yang diperolehi rezeki yang halal,apakah daging yang tumbuh pada badan kita dan keluarga daging yang bersih atau ia hanya layak sebagai bahan bakar api neraka? Apakah ada orang-orang yang terzalimi kerana kealpaan kita, apakah kita tidak takut doa orang-orang yang kena zalim sedangkan tiada hijab antara doa orang yang kena zalim dengan Allah dan macam-macam lagi soalan yang kita boleh tanya diri sendiri. Sebelum kita menjawab di hadapan Allah adalah selamat sekiranya kita menjawab sekarang, memperbaiki mana yang kurang, menginsafi apa yang telah berlalu, menampal mana-mana yang lompang dan sebagai orang yang beriman kita tidak harus berputus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah.
WA ALLAHU A’LAM
Untuk renungan:
(Maksud al-Quran al-Ma’idah 8 – Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan ( kebenaran ) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian mu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih ( bahawa) untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.
Saturday, December 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment