Saturday, December 15, 2007

ETIKA KERJA DALAM ISLAM

ETIKA KERJA DALAM ISLAM
Oleh : Ustaz Razali bin Abd Rahim
1.0. PENDAHULUAN

Etika boleh diterjemahkan sebagai peraturan adat dan budibahasa atau peraturan adat antara manusia dengan profesionnya. Secara mudahnya, etika bolehlah dianggap sebagai akhlaq dalam Islam. Akhlaq ialah budipekerti, perangai, tingkahlaku atau tabiat seseorang. Oleh itu etika bolehlah diertikan sebagai tingkahlaku atau perlakuan manusia ke arah kebaikan dan kemanfaatan kehidupan.

Dengan itu etika menurut Islam adalah berbeza dengan etika yang difahami oleh pihak Barat. Islam menganggap kerja itu sebagai ibadah, oleh tindakan yang akan dilakukan oleh para pekerja itu sentiasa selari dengan peraturan ibadah. Ini bermakna agama dan kehidupan tidak terpisah. Manakala etika Barat terhasil dari kajian dan pemerhatian aqal mereka semata-mata tanpa panduan agama. Agama dan kehidupan pada mereka adalah dua dunia yang berbeza.

1.1. ETIKA KERJA ISLAM
Islam telah menggariskan beberapa panduan dan etika boleh menjamin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi. Matlamat utama memperkenalkan etika ini adalah untuk mengahasilkan bukan sahaja organisasi yang cemerlang tetapi juga ingin melahirkan manusia yang juga cemerlang dari segenap sudut malah selari dengan tuntutan kecemerlangan agama itu sendiri. Islam ingin melahirkan manusia yang seimbang dari segenap aspek kehidupan. Islam tidak hanya melahirkan manusia yang cemerlang dari sudut amalan agama sahaja tetapi juga ingin melahirkan kejayaan dalam kehidupan di dunia ini. Islam amat menentang tumpuan hanya kepada aspek tertentu dengan pengabaian kepada aspek yang lain. Ia perlu dilakukan secara beriringan.

1.1.1. KERJA SEBAGAI IBADAH
Setiap orang bekerja untuk memenuhi keperluan diri dan orang yang di bawah
tanggungannya, masyarakat, negara dan manusia sejagat. Semua tujuan ini terkandung dalam ertikata untuk mengabdikan diri kepada Allah, yang dianggap sebagai matlamat dan tujuan yang mulia.

Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana kita hendak membudayakan kerja sebagai satu ibadah yang dijanjikan ganjaran oleh Allah s.w.t ?. Kita juga mungkin terfikir mengapa kita amat berhati-hati dan sentiasa berusaha memelihara pantang larang di dalam melaksanakan sesuatu ibadah khususnya ibadah yang telah difardhukan. Haji umpamanya, seluruh bakal-bakal Haji dan Hajjah sanggup berusaha sebaik mungkin agar tidak melanggar pantang larang ketikan sedang berihram, rambut gugur, hati menjadi risau, kena dam ke tidak. Semua orang berusaha menjaga dan memelihara pantang larang tersebut. Persoalannya mengapa kita mengambil sikap sambil lewa atau dalam bahasa mudahnya ’ cincai ’ dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Jadi, Bagaimana kerja atau kerjaya kita boleh diiktiraf sebagai ibadah kalaulah ini sikap dan fahaman kita.

Oleh itu cara yang paling mudah ialah, cuba kita sematkan azam dan tekad untuk membudayakan kerja itu sebagai ibadah dengan berikhtiar agar semangat dan sikap berhati-hati kita semasa mengerjakan ibadah khusus diterapkan dalam tugas dan kerjaya kita. Pasti ketenangan, keseronokan dan kepuasan akan terpancar di hati dan wajah kita. Pasti tekanan, kekecewaan, kehampaan dan lain-lain watak negatif akan dapat dihindarkan.

Oleh itu, untuk menjadikan kerja itu sebagai ibadah beberapa syarat tertentu yang perlu dipatuhi selari dengan contoh-contoh ibadah lain yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan seperti sholat, puasa, haji dan sebagainya. Roh ibadah itu perlu diterapkan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Antaranya:

1. Niat kerana Allah : Kerja akan menjadi ibadah bila niat itu betul. Niat perlu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. tanpa dipengaruhi dengan lain-lain tujuan. Niat yang tidak betul akan menjadikan kerja itu menyimpang dari tujuan ibadah. Contohnya, untuk mencari nama, pangkat, kekayaan, mengharapkan pujian dan seumpamnya.
2. Tunai tanggungjawab asas : Untuk menjadikan kerja itu ibadah, jangan sampai kita terpaksa mengorbankan ibadah-ibadah yang hakiki yang perlu ditunaikan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya.
3. Kerja yang selaras dengan syarak : Kerja hanya akan dianggap ibadah apabila pekerjaan itu dianggap halal dari sudut syarak. Oleh itu kerja yang tidak selari dengan ketentuan syarak akan terkeluar dari maksud ibadah.
4. Tunai tanggungjawab sesama manusia : Tanggungjawab kepada manusia lain perlu juga ditunaikan walaupun hakikatnya mempunyai hubungan dengan soal kewajipan, seperti berzakat, besedekah, bantuan untuk anak yatim dan sebagainya.
5. Menanamkan sifat mulia : Setiap orang perlu mempunyai nilai-nilai murni dalam diri mereka, seperti sabar, dedikasi, berani, usaha yang berterusan dan seumpamanya.

1.1.2. BEKERJA DENGAN IKHLAS DAN AMANAH
Ikhlas dan amanah merupakan dua ciri utama orang Islam. Apabila kedua-dua ciri ini disematkan dalam diri setiap individu, sudah pasti organisasi akan cemerlang dan berjaya. Dalam melaksanakan tugas, mereka akan menyedari bahawa mereka sentiasa diawasi bukan sahaja oleh majikannya, malah oleh Yang Maha Kuasa yang lebih teliti dan tajam pengawasannya. Ini secara tidak langsung menjadikan individu itu akan menjalankan amanah yang diserahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin.

Akhirnya, lahirlah rasa tanggungjawab, rela hati, bersungguh-sungguh dan seronok dalam menjalankan amanah tersebut. Mereka sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti kerja mereka bukan sahaja untuk manfaat sendiri tetapi juga untuk kesejahteraan manusia seluruhnya. Tugas menjadi lebih baik dan sempurna serta menepati masa yang telah ditentukan.

1.1.3. BEKERJA DENGAN SEMANGAT BERPASUKAN
Manusia tidak mampu untuk hidup bersendirian, malah memerlukan sokongan danbantuan dari orang lain. Oleh itu manusia perlu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sesuai dengan kejadian manusia dari berbagai bangsa, suku, berlainan bahasa, budaya dan sebagainya, maka manusia boleh sentiasa bertukar-tukar fikiran dan maklumat untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.

Di samping itu, kerja yang berat juga akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Seperti kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang rengan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah dan hati nyamuk sama dicicah. Kesan bertukar-tukar idea dan maklumat, menjadikan sesuatu kerja itu lebih baik dan berkualiti. Sesuai dengan Firman Allah s.w.t.:
"..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan".
(al-Maidah: 2)

1.1.4. MATLAMAT KESEJAHTERAAN MASYARAKAT SEJAGAT
Islam bukanlah agama yang menekankan kepentingan diri semata-mata, tanpa memperdulikan nasib orang lain. Banyak contoh amalan dalam Islam yang menggambarkan suasana dan keadaan ini, antaranya kewajipan berzakat, bersedeqah dan sebagainya. Walaupun harta itu adalah hasil dari titik peluh sendiri, tetapi kita disarankan agar tidak melupakan nasib golongan yang daif. Bantuan harus disalurkan samada melalui cara yang telah diwajib atau sesuatu yang disunatkan. Matlamatnya jelas, agar sama-sama dapat merasai dan berkongsi nikmat harta kekayaan yang Allah kurniakan kepada manusia.

Begitulah juga dalam dunia pekerjaan. Setiap pekerja perlu menanamkan dalam diri mereka bahawa, mereka sebenarnya sedang memberi dan menyediakan perkhidmatan kepada mesyarakat seluruhnya. Mereka harus menyedari bahawa, kerja-kerja yang dilakukan itu dengan tujuan memberikan kesejahteraan kepada orang lain adalah merupakan satu tuntutan agama yang besar nilai dan ganjarannya di sisi Allah s.w.t.

1.1.5. MEMELIHARA SYAHSIAH RUPA DIRI
Manusia terbentuk dari pelbagai gabungan samada fizikal, rohani, jasad, emosi dan sebagainya. Oleh itu untuk menjadi seorang pekerja yang berjaya dan cemerlang, dia perlu bijak mengadunkan gabungan itu selaras dengan tuntutan syarak. Semua aspek perlu diambil kira dan dijaga, kerana Islam tidak hanya memandang aspek luaran tanpa memperdulikan soal dalam dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu aspek luaran perlu dipelihara seperti berpakaian bukan sahaja menutup aurat, malah juga rapi, selesa dan kemas. Begitulah juga dengan aspek rohani, perlulah ditanamkan nilai murni seperti budi bahasa, tingkah laku, ketenangan dan seumpamanya. Pepatah Melayu selalu menggambarkan keadaan ini, seperti bahasa melambangkan bangsa. Memelihara syahsiah rupa diri, menjadikan kita akan sentiasa disenangi bukan hanya oleh rakan sekerja, malah masyarakat seluruhnya yang berurusan dengan organisasi tersebut.
Di samping itu, persekitaran tempat kerja juga perlu dipelihara agar menimbulkan keselesaan, nampak bersih, kemas dan teratur. Ini menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran mereka sesuai dengan tuntutan Islam itu sendiri yang amat menekankan aspek kebersihan.

1.2. RUMUSAN
Setiap individu perlu menghayati budaya dan etika kerja Islam. Matlamat Islam cukup jelas, untuk melahirkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya, serta menjamin kualiti kerja dan perkhidmatan yang terbaik. Islam adalah berbeza dari etika kerja menurut Barat, kerana mereka hanya memfokuskan kepada keuntungan dan material semata-mata, tanpa mengambil kira aspek-aspek sampingan yang lain.

Islam sebaliknya, mengambil kira pelbagai gabungan aspek yang mempunyai kepentingan dalam nilai-nilai kehidupan manusia sejagat. Islam tidak bermatlamat untuk melahirkan ramai golongan yang daif dan hanya segelintir sahaja golongan yang berada. Islam tidak hanya memberi tumpuan kepada keuntungan semata-mata, tetapi juga mengambil kira soal akhlaq, syahsiah rupa diri dan matlamat organisasi itu sendiri. Keseimbangan amat penting kerana mampu melahirkan kejayaan yang lebih menyeluruh dan bersifat sepadu tanpa pengabaian salah satu darinya.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum,terima kasih atas rperkongsian ini, ia sangat membantu saya dalam pekerjaan saya.

jie said...

Assalamualaikum. Saya mohon izin menjadikan tulisan blog tuan sebagai rujukan dalam menyiapkan tugasan saya.