Monday, February 23, 2009

Siapa HAMAS?

SERANGAN GANAS ISRAEL: PATUTKAH HAMAS DIPERSALAHKAN

Dr. Mohd Sabri Abdul Ghafar
CITU UiTMT

Muqaddimah

Israel menyerang Semenanjung Gaza dengan alasan bertindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang HAMAS. Dakwaan tersebut telah disokong oleh wakil Amerika Syarikat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika menolak usul genjatan senjata yang dicadangkan oleh negara-negara angota yang lain. Alasan yang diberikan oleh Israel kemudiannya ternyata meleset apabila setiap serangan bukan hanya HAMAS yang menjadi sasaran, malah kesemuanya mengorbankan lebih 1330 orang rakyat Palestin yang tidak berdosa samada bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak terlibat sama sekali dengan peperangan. Malah serangan Israel juga dihalakan kepada kemudahan awam seperti masjid, hospital, sekolah dan sebagainya. Lebih mengejutkan lagi (terutamanya PBB) apabila konvoi bantuan PBB dan sekolah yang dibiayai oleh PBB turut diserang dan dimusnahkan.

Dalam masa yang sama pemerhati-pemerhati politik pula berpendapat serangan Israel itu lebih bermotifkan untuk mendapat sokongan rakyat Israel dalam pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi. Jika benar pendapat tersebut, maka sudah tentulah serangan roket HAMAS itu dijadikan kambing hitam oleh Israel. Walauapapun alasan yang diberikan, ternyata serangan ganas Israel itu berpunca dari sentimen anti-HAMAS yang membuak-buak yang tidak dapat disembunyikan oleh pemimpin-pemimpin Yahudi. Perseteruan antara kedua-dua pihak ini adalah berpunca dari perebutan ke atas negara Palestin sejak berabad-abad lamanya.


Palestin: perebutan antara Islam dan Yahudi

Palestin purba (5000-1400 SM) dikenali dengan tamadun Natuf (zaman batu pertama). Kedatangan Kabilah Kan’an (yang berbangsa Arab) dari Semenanjung Arab pada kira-kira tahun 2500 SM ke Palestin menjadikan mereka penduduk pribumi di sana. Mereka telah membina lebih kurang 200 buah kota yang sebahagiannya kekal sehingga sekarang seperti Khalil, Baitlaham, Haifa dan Asqalan. Selain Kabilah Kan’an terdapat juga kabilah Arab yang lain seperti Umuriyah yang juga kemudiannya menjadi kaum pribumi Palestin.

Nabi Ibrahim a.s. datang ke Palestin kira-kira tahun 1900 SM. Apabila baginda wafat, tugas dakwah diserah kepada anaknya Nabi Ishak a.s. dan kemudiannya Nabi Ya’kub a.s. Anak-anak Nabi Ya’kub telah berhijrah ke Mesir. Disebabkan kezaliman Fir’aun kaum Bani Israel keluar dari bumi Mesir dan kembali ke Palestin. Palestin pada ketika itu di pimpin oleh Nabi Daud a.s. (1004-963 SM) dan Nabi Sulaiman a.s. (963-923 SM). Baginda telah membangunkan tamadun yang hebat di bumi Palestin.

Selepas kewafatan Nabi Sulaiman Palestin telah berpecah kepada dua: kerajaan Israel di utara Palestin (923-721 SM) dan kerajaan Yahuda (923-586 SM). Kedua-dua kerajaan ini sentiasa berperang antara mereka. Kerajaan Israel kemudiannya jatuh ke tangan puak Assyuria. Penduduk Bani Israel lari ke kota Harran, Kurdistan dan Parsi. Kerajaan Yahuda jatuh ke tangan Babylon (raja Nebuchadnezar) pada tahun 586 SM. Kehancuran kedua-dua kerajaan ini disebabkan kezaliman dan kejahatan yang mereka lakukan. Pemerintahan Bani Israel berlangsung selama empat abad lamanya.

Palestin kemudiannya diperintah oleh empayar Parsi (539-332 SM), Greek (332-63 SM) dan Rom Timur (63 SM – 636 M). Sepanjang tempoh pemerintahan Parsi, Greek dan Rom, bangsa Yahudi telah bertebaran di Eropah, Rusia dan Turki. Namun bangsa Arab masih terus kekal berada di Palestin. Sungguhpun terdapat usaha kaum Yahudi untuk kembali berkuasa di Palestin, semuanya dapat dipatahkan oleh pemerintah Palestin.

Palestin dibebaskan dari empayar Rom oleh tentera Islam di zaman Umar al-Khattab pada tahun 636 dan ia berkekalan sehingga 1917. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Kristien (Salib) pernah menjajah Palestin selama 88 tahun (1099-1187) namun tidak berjaya mengubah agama dan identiti rakyat Palestin. Buat kali keduanya, Palestin ditawan semula oleh Salahuddin al-Ayyubi. Pemerintahan Islam selama 13 abad telah berjaya membawa rakyat Palestin menjadi umat yang terbaik. Ramai ulama tersohor dilahirkan dari bumi Palestin termasuklah Imam al-Shafie yang berasal dari Gaza.

Kelemahan Kerajaan Turki Uthmaniyah yang memerintah Palestin (1516-1917) telah memberi laluan kepada Yahudi-Zionis untuk kembali ke Palestin. Sewaktu persidangan London (1905-1907), idea pembentukan ‘Negara Kawalan’ (Buffer State) telah ditimbulkan. Tujuan utama penubuhan negara tersebut ialah untuk memisahkan perpaduan umat Islam di dua benua, Asia dan Afrika. Di samping itu negara ini juga dijadikan agen yang akan menimbulkan ketegangan dan huru-hara yang akan melemahkan negara-negara Islam yang berjiran dengannya. Kekuatan Negara Kawalan ini sudah tentulah bergantung kepada bantuan kuasa Barat dan negara yang memusuhi Islam.

Akibat kempen anti-semitism yang dilancarkan oleh pemerintahan Rusia, bangsa Yahudi telah lari dari Rusia dan pergi ke Eropah. Mereka tidak disenangi oleh bangsa Eropah kerana percubaan mereka untuk menguasai politik dan ekonomi. Atas seruan Zionis, kaum Yahudi yang berada di Barat dan di Timur (yang kebanyakannya bukan berasal dari keturunan Bani Israel yang asal) telah berhijrah ke Negara Kawalan di Palestin. Langkah ini dipercepatkan demi menyelesaikan ‘Masalah Yahudi’ (the Jewish Problem) tersebut.

Secara rasminya, negara Israel telah diisytiharkan pada petang 14 Mei 1948. Perisytiharan itu dibuat setelah mereka mengalahkan tentera bersekutu Arab dalam perang Arab-Israel 1948. Akibatnya, 78% bumi Palestin jatuh ke tangan Israel. Sebanyak 478 buah penempatan rakyat Palestin dihancurkan. Seramai lebih 800 ribu (60%) rakyat Palestin diusir dan dihalau keluar setelah mereka tinggal di sana selama 4,500 tahun.

Bermula dari peristiwa tersebut Yahudi semakin lama semakin berani menakluk bumi Palestin. Mereka sedar bahawa mereka telah dibuang oleh manusia di Timur, mahupun di Barat. Dengan bantuan Barat, Israel semakin berani mengganas dan merampas bumi umat Islam Palestin dan melakukan apa sahaja tindakan demi mencapai matlamat mewujudkan sebuah negara Israel yang kuat dan selamat dari sebarang ancaman.


Penentangan rakyat Palestin ke atas negara Zionis-Israel.

Penentangan terhadap regim Yahudi pada mulanya didokong oleh negara-negara Arab seperti Mesir, Syria dan Jordan. Namun setelah beberapa kali usaha dan peperangan dilancarkan oleh negara-negara ini gagal, terutamanya perang 1948 dan 1967, maka rakyat Palestin cuba untuk bangkit sendiri menentang Israel. Negara-negara Arab tidak berjuang secara bersungguh-sungguh untuk membebaskan Palestin, bahkan hanya sekadar mengambil peluang untuk menjadi jaguh di kalangan jiran-jiran Arab yang lain.

Apa yang menyedihkan negara-negara tersebut selepas itu sudah tidak menghiraukan nasib rakyat Palestin, malah ada yang menyekat dan menghalang pejuang Palestin dari melancarkan serangan ke atas Israel dari sempadan negara mereka. Langkah begini diambil disebabkan sikap pengecut negara Arab kepada serangan balas Israel ke atas negara mereka. Demi untuk mengelak persengketaan dengan negara-negara jiran Arab, Israel telah mengadakan beberapa siri perjanjian yang membawa kepada pengiktirafan Israel di kalangan negara-negara Arab.

Kecewa dengan sikap negara Arab tersebut rakyat Palestin telah bangun sendiri menentang Israel. Perjuangan rakyat Palestin menentang negara Zionis Yahudi telah melalui banyak liku. Pada peringkat awalnya gerakan-gerakan penentangan dipimpin oleh para ulama. Pada fasa berikutnya gerakan penentangan menjadi semakin banyak dengan membawa fahaman dan aliran yang berbeza-beza. Ada yang berfahaman nasionalis, komunis, sosialis, Baath dan ada yang Islam. Dua gerakan yang mendapat sokongan meluas rakyat Palestin ialah gerakan FATAH dan PLO.

Pada peringkat awalnya, gerakan-gerakan ini melancarkan penentangan secara terbuka dengan melancarkan beberapa siri demonstrasi anti-Israel. Namun setelah menemui jalan buntu gerakan ini telah berubah haluan dan mengambil jalan singkat untuk berdamai dengan Israel melalui Perjanjian Oslo pada 13 September 1993. Melalui perjanjian ini Israel telah bersetuju memberi kuasa autonomi kepada PLO untuk mentadbir wilayah yang ditetapkan dengan syarat PLO mesti mengekang kebangkitan rakyat Palestin menentang Yahudi Israel.

Langkah PLO itu dianggap sebagai suatu pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan sepenuhnya bumi Palestin dari regim Zionis. Sekalipun Israel memberi kuasa autonomi kepada PLO, namun Israel telah menafikan sebahagian besar hak-hak rakyat Palestin yang lain. Strategi pecah dan perintah telah digunakan secara berkesan oleh Zionis Yahudi. Rakyat Palestin kini terbahagi kepada dua puak yang sering bertelagah sesama sendiri, ada yang menyokong PLO (yang sealiran dengan FATAH) dan ada pula yang menyokong gerakan yang tidak setuju dengan FATAH dan PLO yang terdiri dari aliran Islam yang didokong oleh HAMAS.

HAMAS (Harakah al-Muqawamat al-Islamiyyah) merupakan sayap Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1987. HAMAS menjalankan usaha membina para pejuang melalui tarbiyah yang cukup tersusun untuk menyediakan barisan pejuang jihad menentang Israel. Gerakan HAMAS bukan hanya tertumpu kepada jihad bersenjata, malah juga bergerak membangunkan bidang pendidikan, kesihatan, sosial, ekonomi dan politik. Pengaruh HAMAS semakin hari semakin bertambah dan menular di segenap pelusuk bumi Palestin. Seruan jihad HAMAS telah disambut oleh pemuda-pemuda Palestin dengan melancarkan intifadah pertama dan kedua. Bilamana pilihanraya diadakan, HAMAS telah mendapat mandat rakyat Palestin dengan meraih majoriti kerusi majlis perundangan.

Sungguhpun HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin secara sah dan demokratik, Israel tetap enggan menerima kerajaan yang dipimpin oleh HAMAS. Israel bertindak ganas untuk menghapuskan HAMAS dengan membunuh dan memburu pemimpin dan pejuang-pejuang HAMAS. Mereka sanggup menghancurkan segala-galanya demi mencapai cita-cita melenyapkan penentangan rakyat Palestin yang diketuai oleh HAMAS. Bagi Israel menyerang HAMAS tidak akan sempurna jika rakyat Palestin tidak diserang. Dendam Israel ke atas rakyat Palestin adalah kerana rakyat Palestin menyokong perjuangan HAMAS yang bercita-cita menghapuskan Israel.


Salahkah HAMAS menyerang Israel ?

Sesungguhnya mana-mana serangan yang dilancarkan oleh rakyat Palestin ke atas Israel berpunca dari sikap Israel yang kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan dalam hubungan mereka dengan rakyat Palestin. Sikap Israel ini amat jelas kelihatan sejak kedatangan mereka ke Palestin sehingga kini. Rakyat Palestin ditekan, diburu, disekat dari dunia luar, dinafikan hak sebagai pribumi, dibunuh dengan kejam, dipenjara dan diseksa secara luar biasa dan sebagainya. Layanan Israel terhadap rakyat Palestin lebih teruk dari layanan yang diberikan kepada haiwan.

HAMAS berjuang membebaskan rakyat Palestin dari cengkaman Israel. Rakyat Palestin memilih HAMAS setelah merasa bosan dengan kegagalan demi kegagalan gerakan-gerakan yang sedia ada yang berjuang samada secara bersenjata atau secara diplomasi. HAMAS bersikap tegas untuk tidak membenarkan entiti Israel yang tidak sah berada di bumi Palestin. HAMAS bergerak secara demokratik dan mendapat mandat yang sah dari rakyat Palestin. HAMAS tidak bergantung kepada negara-negara Arab yang bersekongkol dengan Amerika yang menjadi sekutu Israel. HAMAS diharapkan akan sekali lagi berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari tangan Zionis Yahudi. HAMAS diharapkan akan dapat terus bertahan dan tetap gagah demi menyelamatkan maruah seluruh umat Islam.

No comments: